SESUATU PENGEMBARAAN BERMULA DENGAN SATU LANGKAH

Isnin, 27 Julai 2009

Epilog 'CINTA' Lelaki Beruban

Hampir sahaja lelaki ini mahu mengutuk gelagat pasangan yang sedang asyik maksyuk duduk di sebelah mejanya. Tak sedar diri! Tetapi mujur hatinya cepat terdetik dan akhirnya dia senyum sendirian.

Pasangan beruban dan gadis muda polos itu kelihatan begitu leka bertentang mata diselang seli dengan belaian dan usikan manja. Tidak terlihat ada beban antara mereka. Ah! Alangkah indahnya hidup mereka.

Lelaki ini senyum sendirian kerana sedar itulah yang berlaku dalam hidupnya selama setahun lalu sebelum rahsia percintaannya terbongkar oleh isterinya sendiri. Porak peranda hidupnya akibat amuk isterinya itu.

Tetapi apabila melihat sekeliling, lelaki ini tahu dia tidak sendirian. Dia juga percaya pasangan beruban dan gadis polos di sebelah mejanya di sebuah restoran 24 jam di Kuala Lumpur itu, satu ketika nanti akan melalui fasa 'kantoi' yang telah dilaluinya.

Pada kaca mata lelaki ini, percintaannya selama setahun ini bukanlah satu perbuatan curang. Aneh kerana pada masa sama, dia turut mengambil segala daya untuk menyembunyikan cinta gelapnya itu. Kalau bukan curang, apa namanya?

Dia dalam dilema antara menjaga keharmonian rumah tangga dan menikmati kelangsungan kebahagiaan hidup bersama kekasih mudanya itu. Dalam setiap masa, dia mahu kedua-duanya.

Untuk berterus-terang dengan isteri, dia belum berani. Belum lagi bab untuk mendapatkan persetujuan keluarga kekasihnya. Semuanya mengundang masalah. Dan akhirnya, akibat lalai untuk menghapus khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman si kekasih, hidupnya kini dalam persimpangan.

Si lelaki beruban yang ketagihan belaian dan layanan manja perempuan yang tidak lagi diperoleh daripada isterinya itu, sedang mengumpul kekuatan untuk membulatkan tekadnya.

Dia bertekad jika leteran, pemantauan 24 jam dan kebengisan isterinya terus berpanjangan, jalan pilihannya ialah menoktahkan ikatan kasih gelapnya dengan berkahwin, Alang-alang tertangkap basah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan