SESUATU PENGEMBARAAN BERMULA DENGAN SATU LANGKAH

Selasa, 15 September 2009

Anelka Dan Agama Islam

BAGI peminat bola sepak dunia terutamanya penyokong kelab Inggeris, Chelsea, nama Nicolas Anelka mungkin sudah tidak asing lagi. Dia dianggap salah seorang penyerang paling berbahaya apabila berada di hadapan pintu gol lawan.

Pada musim lalu, dia menjadi penjaring terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan 22 gol. Anelka kini dikenali sebagai seorang pemain yang sentiasa tenang dan tidak emosional di padang.

Keadaan itu berbeza ketika lelaki kelahiran Versailes, Perancis itu mewakili Real Madrid, Liverpool, Manchester City dan Arsenal. Ini kerana ketika itu dia dikenali sebagai pemain yang suka merungut dan emosional.

Perubahan sikap Anelka itu sememangnya menarik perhatian banyak pihak. Dia dilihat semakin bijak dan tenang dalam apa juga situasi. Dalam wawancara dengan sebuah media di Britain baru-baru, Anelka mendedahkan perubahan di dalam dirinya berlaku sejak dia memeluk agama Islam pada tahun 2004 ketika mewakili kelab di Turki.

''Islam banyak membantu saya untuk bersikap tenang, menumpukan perhatian dan mempunyai semangat yang tinggi. Saya gembira menjadi seorang Muslim kerana Islam adalah satu agama yang penuh ketenangan," kata Anelka atau nama Islamnya, Abdul Salam Bilal Anelka.

Sebelum ini, Anelka pernah menyembunyikan identitinya sebagai seorang Islam kepada umum. Keadaan itu berbeza dengan rakan senegaranya Franck Ribery yang bermain dengan kelab Bayern Munich. Ribery sentiasa berdoa setiap kali hendak memulakan sesuatu perlawanan tetapi Anelka tidak berbuat demikian. Bagi Anelka, agama adalah soal peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada orang ramai.

Namun begitu selepas umum mengetahui agamanya, Anelka telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa dia kini seorang Islam dan mendapat hidayah pada tahun 2004, ketika bermain dengan kelab Fenerbahce, Turki.

Anelka yang dilahirkan di Versailles, Perancis, pada 14 Mac 1979, menghabiskan masa kecilnya di Trappes - sebuah kota kecil di pinggir barat Paris. Sebelum menjadi seorang Muslim, Anelka adalah seorang yang tiada agama. Pada ketika itu, Anelka banyak bergaul dan menjalin persahabatan dengan keluarga Muslim dan di situlah dia mula tertarik dengan Islam.

Ketika ditanya dalam satu wawancara kenapa dia memilih Islam, Anelka menjelaskan, '' Islam adalah cara hidup yang sesuai dengan dirinya dan saya berasa tenang selepas menganut agama itu."

Anelka mengakui, sejak menjadi seorang Muslim, ia banyak membawa perubahan positif kepada dirinya sama ada sebagai seorang hamba Allah mahupun seorang pemain bola sepak profesional.

''Islam membimbing saya untuk bersikap arif dan ini banyak membantu saya supaya sentiasa bersikap tenang dan bersemangat tinggi ketika turun ke padang. Islam adalah sumber kekuatan saya sama ada ketika di dalam atau luar padang.

Ketenangan

''Saya menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan, oleh itu saya perlu mencari ketenangan dan akhirnya saya menemui Islam," katanya.

Dari sudutu kehidupan peribadinya, Anelka bernikah dengan seorang warga Belgium, Barbara Tausia, pada 9 Jun 2007 di Morocco.

Walaupun berbeza agama, namun ia tidak menggugat pendirian Anelka terhadap Islam, malah untuk perancangan masa depan Anelka bercadang untuk bermastautin di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), apabila bersara kelak.

Apa yang menarik biarpun terpaksa mengharungi perlawanan ketika bulan Ramadan, namun Anelka tetap taat menunaikan ibadah puasa.

''Kami mempunyai ramai pemain beragama Islam dalam liga Inggeris dan kami tetap berpuasa kerana ibadah itu tidak menjejaskan kemampuan kami. Sebagai seorang Islam kami wajib menghormati Ramadan,'' kata Anelka.

Bagaimanapun Anelka mengakui beberapa kali ketika bulan Ramadan, dia mengalami kecederaan sehingga tidak memungkinkan dia berpuasa.

Kini Anelka menjadi salah seorang pemain bola sepak yang dikagumi dan dalam masa yang sama berusaha menjadi Muslim yang baik.

Kehadiran Ramadan kali ini disambut oleh Anelka dengan penuh kesyukuran dan yakin selagi dia berada dalam Islam, selagi itulah kehidupannya akan terus diberkati.

Sesungguhnya, Anelka bersyukur kerana pemindahannya ke Turki telah membolehkan dia menemui agama yang sebenar iaitu Islam. Kehidupannya yang sebelum ini terumbang-ambing tanpa agama, kini dipenuhi dengan seribu ketenangan.

Sabtu, 12 September 2009

MENANTI DI BARZAKH

Ku Merintih....Aku Menangis,
Ku Meratap....Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,

Perjalanan Wukuf Merentasi Sebuah Kembara,
Singgah Dirahim Bonda Sebelum Menjejak Ke Dunia,
Menanti di Barzakh Sebelum Berangkat ke Masyar,
Di Perhitung Amalan Penentu Syurga atau Sebaliknya,

Tanah Yang Basah Berwarna Merah,
Semerah Mawar dan Juga Rimbun,
Tujuh Langkah pun Baru Berlalu,
Seusai Talkin Menambah Syahdu,
Tenang dan Damai di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa pun Tahu Resah Penantianku,

Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari Tangis Mereka yg Kutinggalkan,
Kehidupan Di Sini Bukan Suatu Khayalan,
Tetapi ia Sebenar Kejadian,

Kembali oh Kembali,
Kembalilah ke Dalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,
Hanya Kain Putih Yang Membalut Ditubuhku,
Terbujur dan Kaku Jasad Di Dalam Keranda Kayu,

Ajal Yang Datang Di Muka Pintu,
Tiada Siapa Yang Memberitahu,
Tiada Siapa pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup Sekali Tak Sanggup Ku Ulangi,

Jantung Berdegup Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Menggigil Ketakutan Kelam Pekat di Pandangan,
Selama Ini Diceritakan,
Kini Aku Merasakan,
Di Alam Barzakh Jasad Dikebumikan.....

***Damailah Dikau disana wahai Sahabatku - Allahyarham Nor Azhar Bin Ramli -
Kita pasti kan ketemu lagi...Nantikan kedatangan aku...InsyaAllah...

Khamis, 10 September 2009

Tribute To Allahyarham Nor Azhar Bin Ramli (Mat At)

PERGIMU TAK KEMBALI....



Kawan,
Kau umpama mentari yang menerangi kegelapanku,
Kau umpama rembulan yang menghiasi malamku,
Kaulah sahabat diwaktu susah dan senangku...

Hadirmu dalam hidupku hanya untuk seketika,
Namun ku dapat membaca apa perilakumu,
Dapatku agak apa bicaramu,
Kaulah sahabat yang tiada pengganti bagiku...

Wajahmu yang berseri,
Dengan senyuman yang tak lekang dibibirmu,
Walau dihatimu penuh dengan onak duri,
Benarlah senyum itu penawar segala duka...

Tak terlintas dihatiku,
Kau akan pergi begitu cepat,
Kau pergi dalam keadaan yang begitu menyayat hati,
Bukan juga hatiku,
Malah tersentuh jua hati insan yang pernah mengenalimu,
Namun ku redha dengan pemergianmu,
Kerna ku tahu Allah lebih sayangkan mu...

Sempat jua ku usung kerandamu,
Dan kulihat jasadmu terbujur kaku untuk dikebumikan,
Walau hatiku tak rela untuk menerima hakikat,
Bahawa aku akan kehilangan seorang sahabat yang begitu baik,
Ku lihat kawanmu yang lain menangis,
Dan tak terdaya ku tahan airmataku dikelopak mataku,
Yang akhirnya tumpah jua ke bumi...

Kini,
Hanya doaku mengiringi perjalanmu,
Yang suatu hari nanti pasti kita kan ketemu lagi,
Untuk menghitung amalan yang dilakukan di dunia ini...

Kawan,
Ku teruskan hidupku tanpa mu disisi,
Yang ku rasa asing,
Hanya kenangan mu akan selalu menemani hatiku,
Saatku rindu padamu,
Saatku ingat padamu,
Saatmu senyum padaku...

Kadangkala,
Wajahmu menyapa dimataku,
Hanya doa dan Al-Fatihah dariku,
Mampu mengubati kerinduan seorang sahabat...

Terima kasih kawan,
Kerna sudi ingin mengenali diriku,
Kerna memberiku segala kekuatan,
Dikau satu dalam sejuta...

Marilah bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Nor Azhar Bin Ramli yang kembali ke Rahmatullah pada 08/09/09....Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan bersama dengan para solehin....AMIN

Rabu, 9 September 2009

AL-FATIHAH BUAT KELUARGA NOR AZHAR BIN RAMLI

SUMBER : BERITA HARIAN



KEPALA BATAS: Pasukan penyelamat yang mencari seorang nelayan yang hilang ketika ke laut Ahad lalu, terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki di tepi pantai Kuala Muda, Penaga dekat sini, semalam.

Mayat ditemui jam 9.45 pagi itu dikatakan bukan nelayan, Nor Azhar Ramli, 24, yang terjatuh ketika ke laut bersama enam rakannya.

Mayat itu ditemui kira-kira 700 meter dari tempat Nor Azhar terjatuh.

Keluarga Nor Azhar yang melihat mayat itu tidak dapat memastikan sama ada mayat itu adalah Nor Azhar atau orang lain kerana ciri fizikal yang berbeza termasuk dari segi ketinggian.

Selain itu, mereka juga tidak dapat mengecam wajah mayat kerana sudah berubah kecuali kesan parut suntikan cacar di bahu kiri yang masih kelihatan.

Tambahan lagi, ketika kejadian Nor Azhar memakai baju T tetapi mayat itu tidak berpakaian.

Berikutan itu, mayat berkenaan ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Kepala Batas bagi menunggu pengesahan termasuk kemungkinan dilakukan ujian deoksiriboneuklik asid (DNA).

Sementara itu, bapa Nor Azhar, Ramli Hamid, 55, berkata tiga anaknya melihat mayat itu tetapi tidak dapat memastikan ia adalah Nor Azhar atau orang lain.

“Nor Azhar mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter tetapi mayat itu lebih rendah. Selain itu, saya musykil kerana mayat ditemui tanpa pakaian sedangkan Nor Azhar memakai baju T,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Zahinor Hamzah, berkata operasi mencari yang membabitkan anggota bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Prai masih diteruskan.

“Memang mayat seorang lelaki ditemui di tepi pantai tetapi keluarga mangsa tidak dapat mengesahkan bahawa itu mayat Nor Azhar. Jadi, kami serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata mayat yang ditemui kelihatan tua berbanding Nor Azhar.

“Kami perlu menunggu keputusan laporan forensik bagi memastikan sama ada mayat itu adalah Nor Azhar atau orang lain,” katanya.

Pada masa sama, operasi mencari masih diteruskan,” katanya.

Rabu, 2 September 2009

FADILAT SOLAT TERAWIKH DI BULAN RAMADAN

* Malam 1 - Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

* Malam 2 - Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).

* Malam 3 - Berseru Malaikat di bawah Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

* Malam 4 - Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

* Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah(Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa.

* Malam 6 - Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih poda malam ini.

* Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi Alaihissalam nenentang musuh ketatnya Firaun dan Hamman.

* Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam.

* Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

* Malam 10 - Allah Subhanahuwataala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

* Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

* Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

* Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

* Malam 14 - datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

* Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

* Malam 16 - Allah subhanahuwataala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

* Malam 17 - Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

* Malam 18 - Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati).

* Malam 19 - Allah Subhanahuwataala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

* Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

* Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada nur.

* Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huruhara di Padang Masyar).

* Malam 23 - Allah Subhanahuwataala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada nur.

* Malam 24 - Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

* Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripada siksa kubur.

* Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

* Malam 27 - Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.

* Malam 28 - Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 darjat di akhirat.

* Malam 29 - Allah Subhanahuwataala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

* Malam 30 - Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:
"Hai hambaKu : makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau dariapda air syurga yang bernama Salsabila, serta munumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama Al-Kauthar"