SESUATU PENGEMBARAAN BERMULA DENGAN SATU LANGKAH

Rabu, 9 September 2009

AL-FATIHAH BUAT KELUARGA NOR AZHAR BIN RAMLI

SUMBER : BERITA HARIAN



KEPALA BATAS: Pasukan penyelamat yang mencari seorang nelayan yang hilang ketika ke laut Ahad lalu, terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki di tepi pantai Kuala Muda, Penaga dekat sini, semalam.

Mayat ditemui jam 9.45 pagi itu dikatakan bukan nelayan, Nor Azhar Ramli, 24, yang terjatuh ketika ke laut bersama enam rakannya.

Mayat itu ditemui kira-kira 700 meter dari tempat Nor Azhar terjatuh.

Keluarga Nor Azhar yang melihat mayat itu tidak dapat memastikan sama ada mayat itu adalah Nor Azhar atau orang lain kerana ciri fizikal yang berbeza termasuk dari segi ketinggian.

Selain itu, mereka juga tidak dapat mengecam wajah mayat kerana sudah berubah kecuali kesan parut suntikan cacar di bahu kiri yang masih kelihatan.

Tambahan lagi, ketika kejadian Nor Azhar memakai baju T tetapi mayat itu tidak berpakaian.

Berikutan itu, mayat berkenaan ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Kepala Batas bagi menunggu pengesahan termasuk kemungkinan dilakukan ujian deoksiriboneuklik asid (DNA).

Sementara itu, bapa Nor Azhar, Ramli Hamid, 55, berkata tiga anaknya melihat mayat itu tetapi tidak dapat memastikan ia adalah Nor Azhar atau orang lain.

“Nor Azhar mempunyai ketinggian kira-kira 170 sentimeter tetapi mayat itu lebih rendah. Selain itu, saya musykil kerana mayat ditemui tanpa pakaian sedangkan Nor Azhar memakai baju T,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Zahinor Hamzah, berkata operasi mencari yang membabitkan anggota bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Persatuan Nelayan Kawasan Seberang Prai masih diteruskan.

“Memang mayat seorang lelaki ditemui di tepi pantai tetapi keluarga mangsa tidak dapat mengesahkan bahawa itu mayat Nor Azhar. Jadi, kami serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata mayat yang ditemui kelihatan tua berbanding Nor Azhar.

“Kami perlu menunggu keputusan laporan forensik bagi memastikan sama ada mayat itu adalah Nor Azhar atau orang lain,” katanya.

Pada masa sama, operasi mencari masih diteruskan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan